Sunday

HARIAN METRO 28/5/10



Tak serik

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Raja Nuraina Raja Rahim

2010/05/28 PETALING JAYA: Walaupun pernah beberapa kali diserbu Bahagian Penguat Kuasa Farmasi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sejak beberapa tahun lalu, syarikat kosmetik milik seorang kenamaan bergelar Datuk jelas tidak serik apabila terus memasarkan produk mengandungi kimia beracun hidrokuinon itu.

Ujian makmal Jabatan Kimia mendapati krim muka keluaran usahawan itu mengandungi kimia hidrokuinon mencecah sehingga 7.95 peratus dan dianggap berbahaya kepada kulit wajah.

Pengarah Penguat Kuasa Farmasi KKM, Mohd Hatta Ahma berkata, penjualan krim muka berbahaya itu dibongkar selepas pihaknya melakukan uji beli dan menghantar sampel produk untuk dianalisis di makmal Jabatan Kimia, baru-baru ini.


Katanya, pihaknya mendapati krim muka itu mengandungi kimia hidrokuinon yang diharamkan penggunaannya dalam kosmetik di Malaysia dan Eropah.


“Berdasarkan siasatan, produk itu cuba memperdaya pengguna dengan mendakwa dihasilkan daripada estrak herba seperti aloe vera, timun, gingko dan beberapa bahan lain. Namun bahan utama yang memberi kesan kepada wajah si pemakai adalah kimia hidrokuinon.


“Susulan bukti lengkap diperoleh, pegawai penguat kuasa Farmasi KKM menjalankan operasi sebelum menyerbu stor penyimpanan produk itu di Damansara, jam 11.30 pagi semalam,” katanya.


Katanya, pihaknya menemui puluhan kotak krim muka beracun itu yang menunggu masa untuk dihantar kepada pengedar dan salun di seluruh negara.


“Susulan itu, pegawai farmasi merampas dua jenis produk dari gudang berkenaan dianggarkan bernilai lebih RM80,000. “Berdasarkan siasatan, premis sama diserbu dua kali sebelum ini, namun pemiliknya berdegil dan terus menjual kosmetik mengandungi kimia terlarang.


“Apa yang dibimbangi, ramai pengguna terutama wanita mengadu menjadi mangsa berikutan kesan kimia itu yang merosakkan struktur kulit mereka,” katanya.


“Hidrokuinon boleh mengakibatkan gatal, perubahan warna kulit dan kulit menjadi terlalu sensitif.


“Ia menyerap ke saluran darah dalam jumlah besar sehingga mendatangkan pelbagai kesan seperti pertuturan yang sukar difahami, muntah, sentakan otot, sakit kepala, sawan dan koma akibat kegagalan sistem pernafasan,” katanya.